Subhanallah, Maha Suci ALLAH yang mengetahui setiap suruhan
dan laranganNya. Adakah anda sebagai seorang wanita pernah terfikir betapa
banyak kelebihan-kelebihan yang terkandung dalam pergerakan solat yang
dilakukan setiap hari? Percaya atau tidak setiap gerakan dalam solat telah
mendahului kepercayaan orang tua-tua dalam memberi petua turun-temurun kepada
generasi yang akan datang?Mereka menemui bahawa gerakan yang dikenali sebagai
senaman dapat mengekalkan kecantikan dalaman seorang wanita. Bahkan dari segi
sains, solat dapat mengalirkan aliran darah dengan begitu sempurna. Di
kesempatan ini, ana ingin berkongsi persamaan antara pergerakan solat dan
pergerakan senaman dari petua orang dahulu kala. Kebesaran dan kebijaksanaan
ALLAH perlu dikaji oleh setiap insan kerana ada sebab dan musabab kenapa ALLAH
menjadikan begini? kenapa tidak begitu? begitu mengapa tidak begini?Ada sedikit
ilmu yang ana ingin kongsikan bersama setiap insan yang bergelar hawa yang
bakal melahirkan pejuang-pejuang islam yang bakal menegakkan AGAMA ISLAM dimuka
bumi.
SENAMAN-SENAMAN YANG MENYAMAI PERGERAKAN SOLAT.
1. Faedah Halus Pandangan:
Menurut petua orang tua-tua Melayu, senaman mata ini
mengelakkan diri anda dari mudah pusing mata dan dapat menajamkan fokus mata.
Gerakan: Apabila terjaga dari tidur, pejamkan kedua mata.
Baring terlentang dalam keadaan santai tenang. Gerakkan bola mata seolah-olah
anda memandang ke arah kepala anda, kaki, kiri dan kanan. Kemudian pusingkan
bola mata itu mengikut arah jarum jam. Ulangi perkara yang sama tapi kali ini
melawan arah jarum jam.
Perasan atau tidak kedudukan itu sama seperti kedudukan kita
sewaktu berdiri tegak mengadap ALLAH. Cuma dalam senaman ini kita berada dalam
keadaan berbaring. Manakala mata kita sama gerakan seperti memberi salam ke
kanan dan kiri dalam solat.
2.Faedah Angin Tunggal:
Gerakan ini membantu mengeluarkan angin dari dalam perut,
mengurut dan menyengkak rahim serta menyempitkan anggota sulit wanita.
Gerakan: Baring terlentang, lunjurkan kedua-dua kaki. Tarik
nafas. Kemudian angkat kaki kanan lurus ke udara. Bengkokkan lutut anda dan
bawa ia ke arah dada sambil anda lepaskan nafas. Selepas itu, dalam keadaan
nafas biasa, paut lutut yang dibengkokkan menggunakan kedua-dua tangan anda ke
arah dada dan tahankan posisi ini selama 7 saat. Tukar kaki dan ulangi proses
yang sama.
Keadaan ini sama seperti kedudukan sewaktu kita sujud mengadap
ALLAH,ada sebab mengapa sujud yang panjang didalam solat itu lebih baik
berbanding dari tergopoh gapah.
3. Faedah Angin Kembar:
Membantu mengeluarkan angin serta mengurut pinggul serta
merampingkan pinggang wanita. Gerakan: Baring terlentang. Angkat kedua-dua kaki
anda tegak ke udara. Tarik nafas. Kemudian bengkokkan kedua-dua lutut anda itu
ke dada sambil lepaskan nafas. Dalam keadaan nafas biasa pula, pautlah kedua
lutut itu ke arah dada dengan kedua-dua tangan anda. Tahankan posisi ini selama
7 saat.
Sewaktu mengangkat kedua-dua kaki ke atas keadaan ini pula
hampir menyamai kedudukan sewaktu rukuk di dalam solat,kemudian apabila kaki
dibengkokkan ke dada itu sama seperti kedudukan kita bangun daripada rukuk dan
terus sujud.
Semoga apa yang ana kongsikan ini sedikit sebanyak
menyedarkan kita bahawa pemikiran manusia dan sains sebenarnya telah dikabarkan
oleh ALLAH TAALA dalam 'bahasa indahnya' kepada semua manusia. Terpulang kepada
manusia samada akal yang ALLAH kurniakan ini digunakan ke arah kebaikan atau
keburukan. Wallahu' alam.
p/s :
- Allah menerangkan di dalam al-quran bahawa manusia
sentiasa dihinggapi rasa gelisah, bakhil dan sifat keji yang lain. Solat adalah
satu cara untuk menghilangkan sifat-sifat keji ini. Firman Allah SWT yang
bermaksud ;
Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiatkan resah
gelisah(lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah
gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali
orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan
sembahyangnya.
(al-Ma'arij 19-23)